KUALA LUMPUR, (Bernama) - Dua atlet elit bergelar Datuk, Lee Chong Wei dari sukan badminton dan ratu skuasy negara Nicol Ann David, terus menjadi calon popular yang tersenarai bagi merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011.
Nicol merupakan pemenang Olahragawati Kebangsaan 2010 dan bersama Chong Wei pernah menjadi pemenang bagi kategori masing-masing bagi anugerah tahun 2009.
Tahun ini, persaingan bagi kedua-dua kategori bertambah sengit berikutan hadiah bagi pemenang Olahragawan dan Olahragawati dinaikkan 100 peratus.
Pemenang kedua-dua kategori itu masing-masing akan menerima RM20,000 berbanding RM10,000 tahun sebelumnya.
Turut dinaikkan ialah habuan untuk pemenang bagi kategori Pasukan Lelaki Kebangsaan dan Pasukan Wanita Kebangsaan, yang mana masing-masing akan menerima RM20,000 atau RM3,000 seorang, berbanding RM10,000 atau RM1,500 seorang tahun sebelumnya.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat panel pemilihan anugerah Sukan Negara 2011, berkata lapan kategori dipertandingkan pada anugerah kali ini.
"Pihak panel pemilihan telah menyenarai pendek calon penerima anugerah bagi kategori masing-masing," katanya.
Majlis Anugerah Sukan Negara 2011 akan diadakan di Palace of the Golden Horses di sini pada 17 April, bermula 8.30 malam.
Bagi kategori Olahragawan Kebangsaan, Chong Wei akan disaingi Sazali Abdul Samad (bina badan), Cheng Chu Sian (memanah), Bryan Nickson Anak Lomas (terjun), Adrian Ang Hsien Loong (tenpin boling) dan Leong Tze Wai (karate).
Bagi calon Olahragawati, Nicol dicabar Nur Suryani Muhamed (menembak), Fatehah Mustapa (berbasikal) dan Pandelela Rinong (terjun).