LANGKAWI, (Bernama) - Pelayar negara mempunyai peluang cerah untuk merangkul tiga gelaran jika dapat mempertahankan kedudukan pendahulu pada perlumbaan terakhir Kejohanan Pelayaran Asia (ASC) 2012 di sini esok.
Selepas 11 perlumbaan, pelayar pelapis negara Ahmad Latif Khan masih mendahului acara Laser 4.7 dengan pungutan rendah 21 mata diikuti rakan senegara Mohd Farhan Hamid dengan 31 mata.
Manakala pelayar Indonesia, Allison Maher kekal di tangga ketiga dengan 38 mata penalti.
Pada dua perlumbaan hari ini, Ahmad Latif menduduki tempat kedua perlumbaan ke-10 sebelum memenangi perlumbaan berikutnya manakala Mohd Farhan menguasai perlumbaan ke-10 dan tempat kedua pada perlumbaan ke-11.
Dalam acara Laser Radial, pelayar wanita negara Nor Amirah Hamid masih mendahului saingan walaupun gagal menyerlah pada dua perlumbaan hari ini.
Beliau hanya mampu menduduki tempat kelima pada perlumbaan ke-10 dan tempat keempat pada perlumbaan berikutnya.
Bagaimanapun, Nor Amirah mampu mengumpul 22 mata penalti diikuti pencabar terdekat Nagisa Sakai dari Hong Kong yang memperoleh 32 mata penalti manakala pelayar Singapura Germaine Teo di tempat ketiga keseluruhan dengan 33 mata.
Malaysia juga mempunyai peluang dalam acara International 470 menerusi gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Mohd Hafizudin Mazelan yang mendahului saingan dengan 25 mata penalti.
Gandingan negara itu menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan ke-10 dan ke-11 hari ini.
Tempat kedua dikuasai oleh gandingan Thailand, Navee Thansoontorn dan Nut Butmarasari dengan 28 mata penalti, diikuti pelayar China, Wang Weidong dan Deng Daokun yang ketinggalan satu mata.
Pelayar elit negara Khairul Nizam Afendy masih kekal di tangga kedua dalam acara Laser Standard dengan 22 mata penalti dengan pelayar handalan Thailand Keerati Bualong masih menjadi pendahulu (13 mata) manakala tempat ketiga oleh pelayar China, Zhou Jinfu dengan 32 mata penalti.
Dalam acara 29er Terbuka, pelayar Hong Kong, Grelon Cosmas memenangi dua perlumbaan hari ini untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai pendahulu dengan 16 mata penalti.
Pelayar berpengalaman Napakao Poonpat dari Thailand masih mempunyai peluang untuk merampas kedudukan itu dengan 20 mata penalti manakala pelayar India Ganapathy Kelapanda di tangga ketiga dengan 28 mata penalti.
Kejohanan edisi ke-15 itu disertai oleh 297 pelayar dari 16 negara bagi memburu gelaran dalam 17 acara yang dipertandingkan sepanjang saingan lapan hari itu.