BUDAPEST, (D5 Sports) - Fernando Alonso tiba di litar Hungaroring untuk Grand Prix Hungary dengan azam besar menutup mulut pengkritiknya yang mengecam kemenangan pemandu Ferrari itu di GP Jerman hujung minggu lalu.
Alonso juga pantas menafikan dakwaan beliau merupakan pemandu utama pasukan Ferrari di hadapan rakan sepasukan, Felipe Massa, lebih-lebih lagi setelah isu campur-tangan pasukan di Hockenheim baru-baru ini.
"Tidak ada pemandu Nombor 1 atau pemandu Nombor 2 dalam Ferrai," tegas beliau.
"Kami saling menghormati kedudukan masing-masing iaitu memandu demi kejayaan buat Ferrari.
"Apa yang penting ialah kami gembira dengan prestasi jentera kami buat beberapa perlumbaan kebelakangan ini, dan kami mahu teruskan prestasi tersebut dengan kejayaan di Hungaroring."
Fernando juga menepis persepsi bahawa beliau dan Massa tidak sehaluan sambil menegaskan mereka berdua bekerja dengan baik bersama-sama.
"Ferrari ialah satu pasukan yang kompetitif, yang mempunyai dua pemandu yang inginkan kemenangan dan mengutip mata sebanyak mungkin buat pasukan," ujar Alonso.
"Saya percaya Felipe akan terus memberikan cabaran, sebagaimana yang telah dilakukannya sepanjang musim."